Menderma darah bukan hanya dapat menyelamatkan nyawa orang lain tetapi pada masa yang sama penderma turut menikmati faedahnya. Menderma darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih banyak sel darah baru. Secara tidak langsung akan meningkatkan taraf kesihatan penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh lebih baik, berbanding sel lama.
Juga, badan menggunakan zat besi dalam badan akan meningkat kerana ia diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang baru. Proses ini membantu mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelakkan pengumpulan zat besi berlebihan di jantung yang boleh menyebabkan sakit jantung. Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).
Dari perspektif psikologi, penderma darah sebenarnya berasa lebih tenang kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ujian darah akan dilakukan ke atas semua penderma setiap kali mereka menderma darah; walaupun mereka adalah penderma tetap. Ini adalah langkah untuk memastikan semua darah diderma adalah selamat dan tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan penerima. Ia juga membolehkan penderma mengetahui tahap kesihatan mereka kerana jika didapati penderma menghidap penyakit tertentu, perkara berkenaan akan dimaklumkan segera supaya mereka boleh mendapatkan rawatan sewajarnya. Orang dewasa mempunyai empat hingga lima liter darah. Setiap kali menderma jumlah darah diambil hanya 300 hingga 450 mililiter atau hanya lapan peratus darah dikeluarkan dari badan penderma. Anda tidak perlu bimbang kemungkinan masalah kekurangan darah kerana ia tidak akan berlaku. Setiap hari badan kita akan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel yang mati akibat ´tua´. Malah penderma diberikan pil zat besi dan asid filik untuk merangsang badan menghasilkan sel darah baru sebaik selesai menderma darah.
Kebarangkalian anda mendapat penyakit berjangkit juga tidak timbul kerana proses pengambilan darah adalah selamat dan dilakukan dengan berhati-hati. Banyak langkah keselamatan diambil untuk kebaikan anda dan bakal penerima darah. Semua peralatan seperti jarum baru, bersih dan steril akan digunakan bagi setiap penderma dan jarum yang sudah digunakan akan dibuang. Jadi tiada kemungkinan jarum ini terkena penderma lain. Sebelum darah diambil, tekanan darah akan diukur bagi memastikan tekanan darah adalah normal, diikuti ujian pengenalan jenis darah. Sampel sama akan digunakan untuk ujian darah seterusnya. Selepas contoh darah diambil untuk pengenalan jenis dan ujian darah, pegawai perubatan akan memberi kaunseling bagi memastikan anda penderma berisiko rendah.
Apabila anda menderma darah, tidak perlu fikir siapa penerimanya atau bagaimana ia akan digunakan. Setiap hari ada saja orang memerlukan darah untuk menyambung hidup. Darah yang diderma boleh disimpan selama 42 hari dalam peti dingin beku sebelum diberikan kepada golongan yang memerlukan.

No comments:
Post a Comment