27 January 2011

Ku Sangka Panas Hingga ke Petang

Menurut kepercayaan orang tua-tua, hujan panas yang turun membawa alamat bahawa suatu perkara yang tidak diingini akan berlaku. Sekiranya hujan panas berlaku ketika kita sedang mengerjakan sesuatu, itu juga bermaksud pekerjaan itu tidak akan menjadi.

Sekiranya kita dalam perjalanan ke sesuatu tempat dan hujan panas turun tiba-tiba, sebaiknya kita berpatah balik. Sekiranya diteruskan, musibah akan menimpa.

Sekiranya kita di dalam rumah dan hujan panas tiba-tiba turun, orang tua-tua pastinya melarang sama sekali anak-anak keluar rumah. Sekiranya keluar dan terkena hujan panas, anak-anak akan jatuh sakit. Ada kepercayaan yang mengatakan roh-roh dan hantu-hantu suka merayau tatkala hujan panas. Menurut kepercayaan itu juga, roh-roh manusia yang meninggal dunia kerana bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami akan turun ke bumi diiringi hujan panas.

Anak-anak juga dilarang duduk di tepi jendela sambil merenung hujan panas. Sebabnya, air hujan itu juga boleh memercik ke muka dan kepala. Biasanya, orang tua-tua melarang kita berhujan panas kerana takut dihinggapi sakit kepala. Paling dahsyat lagi, mereka melarang kita kerana takut 'keteguran'. Menurut orang tua-tua, sekiranya roh-roh jahat turun ketika hujan panas, kita mungkin ditegur makhluk halus. Musibah lebih buruk akan berlaku sekiranya apabila ditegur, kita menoleh ke belakang atau menyahut. Kita mungkin disampuk dan mengalami demam panas yang teruk.

Namun orang Melayu dahulu tetap mempunyai petua untuk menghalang musibah hujan panas berlaku ketika dalam perjalanan. Sekiranya hujan panas turun secara tiba-tiba, kita disuruh menyelitkan rumput lalang di celah telinga kanan.





No comments:

Post a Comment