12 January 2011

Perasaan Takut Di Kalangan Kanak-Kanak

Perasaan takut memang sering terdapat di kalangan kanak-kanak tetapi kebanyakannya akan hilang dengan sendiri. Ibu bapa perlulah mengetahui bagaimana timbulnya perasaan takut itu dan bagaimana ia boleh berlanjutan. Ia perlulah dianalisa untuk mengetahui asas kewujudannya. Kanak -kanak yang mengalami perasaan takut boleh dipulihkan dengan menggunakan strategi psikologi. Ibu bapa ingin anak-anak mereka menjadi dewasa dengan penuh keyakinan diri tanpa sebarang perasaan takut yang tidak berasas (irrational fears).

Pengasuh yang cekap dan berpengalaman tentang kerenah kanak -kanak akan dapat mengawal keadaan . Dengan penuh rasa yakin , dia akan mengambil anak itu daripada pangkuan si ibu dan terus membawanya masuk ke bilik di mana kanak -kanak lain sedang asyik bermain dengan alat -alat permainan. Dia akan memberi sepenuh perhatian pada anak itu dan menggunakan alat-alat pemaianan untuk menarik minat si anak. Dia tidak akan beredar sehingga si anak berasa benar -benar selesa dan mesra dengan keadaan sekelilingnya. Perasaan cemas apabila dipisahkan  daripada  biunya akan reda apabila si anak sudah yakin dan mesra dengan pengasuhnya.

Perasaan takut memang sering menyelubungi kanak-kanak.  Ada kanak-kanak yang takut pada binatang-binatang seperti ular, tikus, anjing dan lipas. Ada pula yang takut pada air, keadaan gelap atau berada didalam ruang yang kecil dan sempit seperti lif. Sesetengah bayi pula mudah beresa takut pada orang berjanggut, bercermin mata, bertopeng atau  yang bersuara garang dan lantang. Objek atau keadaan  yang ditakuti oleh kanak-kanak berbeza mengikut usia mereka. Kanak-kanak yang berusia satu hingga dua tahun sering berasa takut pada suasana gelap, bunyi mercun, bunyi guruh yang kuat atau binatang seperti semut, lipas dan anjing  Kanak-kanak yang berusia 4 tahun keatas pula mungkin sering dilanda perasaan bimbang apabila memikirkan soal kematian dan penyakit yang mungkin menimpa ibu bapa mereka.  Perasaan takut boleh menguasai fikiran anak akibat daripada beberapa perkara.  Ibu bapa sendiri mungkin secara tidak sengaja menimbulkan rasa takut dalam diri sianak apabila mereka mempamerkan perasaan takut mereka terhadap sesuatu benda itu dihadapan anak mereka.

Bayangkan satu keadaan dimana seorang anak sedang bermain seorang diri di halaman rumahnya.  Tiba-tiba seekor anjing menerpa kearahnya dan menyalak-nyalak. Dia sudah pasti akan menangis ketakutan. Peristiwa ini mungkin akan sukar  dilupakan dan perasaan takut terhadap anjing akan terbawa-bawa sehingga dewasa. Kadangkala , perasaan takut seseorang itu terhadap sesuatu benda atau binatang akan berterusan sehingga dewasa. Ambil contoh seorang dewasa yang takut pada anak kucing. Dia tidak faham mengapa dia bersikap demikian dan tidak pula tahu bagaimana cara mengatasi keadaan tersebut. Setiap kali mendengar bunyi anak kucing mengiau, dia seolah-olah hilang pertimbangan. Wajahnya menjadi pucat , bulu romanya berdiri tegak , jari-jemarinya menggeletar dan dia berasa cemas.

Apabila diselidik, ternyata bahawa perasaan takutnya itu telah bermula sejak usianya dua tahun lagi. Sewaktu dia terjaga dari tidur, dia mendapati seekor anak kucing sedang tidur di atas dadanya. Ini menyebabkan dia terperanjat dan lari dari ketakutan sambil menjerit -jerit sekuat hatinya. Kejadian itu tidak luput dari fikirannya. Setiap kali ternampak anak kucing, perasaan takutnya akan timbul. Lama  kelamaan, terjalinlah perasaan takut (phobia) terhadap anak kucing. Semakin lama, semakin sukar untuk menghilangkan perasaan takut itu. Dia memerlukan satu program desensitisasi untuk mengatasi masalah yang dialaminya. Perasaan takut ini seelok-eloknya dirawat sewaktu sesorang itu masih kecil lagi .

Jika anak anda mempunyai perasaan takut yang agak keterlaluan, eloklah dapatkan nasihat ahli psikologi atau pakar kanak-kanak yang arif tentang masalah tingkah laku kanak -kanak supaya  keadaan ini dapat dipulihkan seberapa segera

No comments:

Post a Comment