Anda wajib kahwin!!..kenapa?..sebab anda dah cukup 10 syarat di bawah ney..so mula lah kumpul duit yer..
-Cinta bertambah indah dengan ikatan pernikahan..-
10 TANDA WAJIB KAHWIN
1. Sunyi di hati walaupun dikelilingi ramai orang.
“Dan
kahwinkanlah orang yang bersendirian di antara kamu dan orang yang
layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan
hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah akan
memampukan mereka dengan kurnia-Nya; dan Allah Maha Luas
(pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur : 32)
Perasaan
sunyi dan sayu merupakan sindrom paling kerap menimpa manusia yang
kosong hatinya daripada mengingati Allah. Kesunyian ini bermaksud hati
terasa kosong dan wujud perasaan sepi sehingga boleh membawa kepada
penderitaan, kepiluan serta kesedihan. Usahkan diri mereka yang
mengalaminya, orang yang melihat juga akan berasa kesedihan tersebut.
Apabila
seseorang itu berasa sunyi sekalipun terdapat ramai orang di
sampingnya, maka itu adalah tanda pertama bahawa dia sudah sampai waktu
untuk berkahwin. Kawan yang ramai bergelak ketawa tetapi jenaka dan
lelucon itu tetap tidak dapat mengubat kekosongan di hati. Ini lantaran
wujud ruangan vakum yang perlu diisi oleh seseorang yang dipanggil
sebagai ‘buah hati’. Apabila didatangi perasaan sunyi yang pelik ini,
maka ketahuilah bahawa perkahwinan itu sudah diwajibkan bagi mencegah
kejadian dan penyakit lebih berat.
Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya
syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua.” – Hadith sahih
riwayat Ahmad, an-Nasa’i, at-Tirmizi, Ibn Hibban dan lain-lain.
Apabila
berseorangan, manusia itu mudah terdedah kepada pelbagai godaan,
pemikiran tidak tangkas, akal lemah dan mudah terperangkap oleh tipu
daya syaitan. Maka ketika itu, berkahwin sudah menjadi wajib bagi
menyelamatkan kehidupan. Ini kerana syaitan sentiasa mendorong manusia
untuk berbuat mungkar sehingga mereka terjerumus ke dalam jurang
maksiat.
2. Kehidupan yang tidak terurus.
Kehidupan
sepatutnya menjadi medan untuk beramal soleh dan menunaikan kewajipan
serta perintah ALLAH dengan mengikuti lunas-lunas Islam. Kehidupan
memberi kita satu peluang mengumpul sebanyak mungkin pahala bagi
mendapatkan ganjaran syurga. Malangnya, bagi sesetengah orang, kehidupan
mereka tidak terurus. Ia boleh dilihat ketika menziarahi rumah mereka.
Keadaannya bersepah, tidak kemas, makan serta pakai mereka tidak teratur
sehingga mengundang pelbagai masalah sampingan. Justeru orang seperti
ini perlu dikahwinkan.Perkahwinanlah yang akan menjadikan mereka lebih
bertanggungjawab serta berkeyakinan untuk menjalani kehidupan dengan
lebih baik dan juga bersistematik.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sebaik-baik
wanita yang menunggang unta salah satunya ialah wanita Quraisy yang
solehah dan yang keduanya ialah wanita Quraisy yang berbuat baik kepada
anak yatim yang masih kecil dan mengurus sendiri keperluan suaminya.” –
Hadith sahih riwayat Muslim no. 4589.
3. Jiwa menjurus kepada lawan jantina
Pernahkah
terjadi perasaan berdebar-debar dan jantung berdegup laju tatkala
berada berhampiran dengan lawan jantina? Sekiranya ‘ya’ dan jika keadaan
sudah menjadi parah, jangankan sesekali duduk berdekatan, cukuplah
kalau hanya sekadar melihat wanita cantik atau lelaki kacak melintas di
hadapan mata.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Maka
sesiapa yang fitrahnya diarahkan kepada sunnahku, maka dia telah
mendapat petunjuk. Sesiapa yang fitrahnya terarah kepada selainnya, maka
dia telah binasa.” – Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Hibban.
“Katakanlah
kepada orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan pandangan dan
menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi mereka.
Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan
katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan dan
menjaga kemaluan mereka…” – Surah an-Nur: 30-31
Rasulullah S.A.W. bersabda di dalam sebuah hadith qudsi yang menerangkan bahawa pandangan itu seperti panah beracun.
“Pandangan
itu adalah panah beracun di antara panah iblis. Sesiapa yang
meninggalkannya kerana takut kepadaKU, maka akan AKU gantikan dengan
keimanan, yang ia dapatkan manisnya di dalam hatinya.” – Hadith riwayat
at-Tabrani dan al-Hakim.
Jika hati atau jantung
berdebar-debar sewaktu memandang lawan jantina, maka sudah pasti mereka
ini termasuk di dalam golongan yang diwajibkan berkahwin.
ALLAH berfirman:
“Dan
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan Rahmat-Nya:
bahawa DIA menciptakan untukmu (lelaki) isteri-isteri daripada jenismu
sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan
dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan,
sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang
menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” – Surah ar-Rum: 21
4. Hilang fokus apabila wujud lawan jantina.
Hilang
fokus atau lemah tumpuan adalah perkara normal yang berlaku kepada
kebanyakan orang bujang. Keadaan ini berlaku kerana mereka kerap
memikirkan berkisar tentang soal pasangan, masa depan yang tidak pasti
dan persepsi daripada banyak pihak. Akibatnya, ia memberi kesan kepada
tugas harian seperti mereka mudah hilang tumpuan, prestasi kerja merosot
serta hasil produktiviti menurun. Mereka yang mengalami gejala hilang
fokus atau lemah tumpuan ini adalah berpunca daripada faktor psikologi
serta perasaan tidak stabil. Umumnya, penyakit ini disebabkan oleh
kesunyian dan kekurangan cinta serta belaian kasih sayang. Jalan selamat
dan ubat yang paling mujarab kepada masalah ini ialah dengan berkahwin.
“Dan
orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong
bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan
melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang
dan memberi zakat, serta taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya; mereka itu
akan diberi rahmat oleh ALLAH; sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa lagi Maha
Bijaksana. ALLAH menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
(akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam
Syurga ‘Adn serta keredhaan daripada ALLAH yang lebih besar
kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” –
Surah at-Taubah: 71-72
5. Cemburu melihat kebahagiaan orang lain.
Perasaan
cemburu atau ghirah di dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian.
Pertama ialah padabahagian yang halal dan diperintahkan iaitu cemburu di
dalam perkara kebaikan. Kedua ialah kepada perkara haram serta dilarang
iaitu cemburu yang melampaui batas dan merosakkan. Cemburu yang
melampaui batas ini disebut hasad. Perasaan hasad ini mampu menghapuskan
kebaikan yang ada pada diri mereka, sebagaimana api membakar kayu
kering. Inilah yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya:
“Jauhkanlah
(oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana
api membakar kayu.” – Hadith riwayat Abu Daud.
Di dalam hadith yang lain, ada disebutkan:
“Janganlah
saling hasad dan jangan mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah
saling bermusuhan. Hendaklah saling memaafkan dan jadilah kamu
bersaudara.” – Hadith riwayat Muslim.
Berusaha menunaikan
kewajipan perkahwinan jika sudah wujud perasaan cemburu dan tertekan
apabila melihat kebahagiaan orang lain. Terutamanya ketika melihat
kawan-kawan di sekeliling sudah pun mempunyai pasangan. Cemburu melihat
orang lain berpasangan adalah isyarat bahaya bahawa perkahwinan itu
perlu disegerakan. Ketahuilah bahawa perkahwinan itu sememangnya indah
sehingga wajar untuk kita berasa cemburu.
6. Wujud perasaan sayang terhadap kanak-kanak.
Ini
berlaku kepada mereka yang sudah sampai seru untuk berumah tangga.
Apabila perasaan keibuan atau kebapaan tumbuh di dalam sanubari, ia akan
mula memainkan peranan dengan menguasai diri dan mempengaruhi segala
tindak tanduk. Ini menunjukkan bahawa seseorang yang sudah sampai waktu
untuk memiliki keluarga sendiri. Inilah fitrah yang sudah ditetapkan
oleh ALLAH.
ALLAH berfirman:
“Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini
iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas,
perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah
kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALLAHlah tempat kembali yang baik
(syurga).” – Surah ali-Imran : 14
Ketika memegang
kanak-kanak atau bayi, terasa berat untuk kita melepaskannya. Apabila
berada berhampiran mereka, naluri keibuan atau kebapaan itu seolah-olah
mendorong kita untuk merangkul, bermain, mengusik dan membelai manja
serta menikmati penuh gembira senyuman yang suci bersih itu. Itulah
petanda bahawa sudah tiba masanya kita bergelar ibu dan bapa.
7. Jatuh cinta pada seseorang.
Jatuh
cinta merupakan fitrah setiap manusia, begitu juga dengan perasaan
minat dan suka. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana
ALLAH telah mencipta manusia dengan fitrah sedemikian. Lelaki dijadikan
untuk tertarik kepada wanita dan begitulah juga sebaliknya. Maka,tarikan
ini adalah fitrah di mana ALLAH telah menyediakan jalan keluar yang
paling sempurna iaitu dengan berkahwin secara sah. Perkahwinan merupakan
sebaik-baik jalan perhubungan di antara lelaki dan wanita.
Ibn
al-Qayyim berkata bahawa ia adalah ‘Ketetapan ALLAH dengan hikmah-Nya
menciptakan makhluk dalam keadaan saling mencari yang sesuai dengannya.
Secara fitrah saling tertarik dengan jenisnya. Tetapi akan menjauh
daripada yang berbeza dengannya.’ Inilah ketetapan ALLAH kepada semua
makhluk-Nya.
ALLAH berfirman:
“DIAlah yang
menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya, DIA
menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya…” – Surah
al-A’raf: 189
8. Desakan hawa nafsu
Ini
selalu terjadi kepada lelaki dan wanita yang baru mencapai usia remaja.
Sekiranya terdedah kepada lawan jantina, mereka akan cepat tergoda dan
teruja. Bahkan, golongan dewasa yang mencapai usia pertengahan juga
kerap kali mempunyai desakan ini. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor
dan perkara ini perlulah diambil berat. Mereka mesti berhati-hati di
dalam mengendalikan hawa nafsu tersebut kerana ia boleh mengundang
pelbagai masalah dan bahaya. Jalan paling selamat bagi menangani desakan
nafsu ini ialah melalui perkahwinan. Melaluinya, desakan tersebut dapat
dilangsaikan menurut tatacara Islam.
Hadith ini
diriwayatkan oleh Abu Zubair. Daripada Jabir, bahawa Rasulullah S.A.W.
melihat seorang wanita lalu wujud keinginan di dalam hati baginda. Lalu
baginda mendatangi Zainab yang sedang membuat roti dan lantas
melaksanakan hajatnya. Setelah selesai, baginda keluar dan bersabda:
“Sesungguhnya
seorang wanita menghadap dengan bentuk syaitan dan mundur dengan bentuk
syaitan juga. Jika ada di antara kalian melihat seorang wanita, lalu
berasa ghairah, maka datangilah isterinya (salurkan kepadanya). Sebab
hal itu dapat menolak penyakit yang ada dalam hatinya.” – Hadith riwayat
Imam Muslim, Abu Daud, al-Baihaqi dan Ahmad. Matan ini milik Ahmad
daripada beberapa jalur yang berasal dari Abu Zubair.
Maksud
‘wanita sebagai menghadap dengan bentuk syaitan’ bukan menunjukkan satu
penghinaan atau penindasan. Makna paling tepat ialah wanita itu
dipergunakan oleh syaitan dengan menghiasi mereka sehingga kelihatan
cantik di mata lelaki yang memandang. Hakikatnya, wanita itu biasa
sahaja. Hal itu berlaku kerana syaitan menghiasi mata dengan penipuan
dan godaan.
9. Beronani.
Onani atau melancap
ialah perbuatan mengeluarkan air mani bukan melalui hubungan intim atau
persetubuhan. Beronani adalah satu perbuatan yang dipandang sebagai
dosa besar di sisi Islam.Demikian, menurut majoriti para fuqaha. Imam
Syafi’e dan Imam Malik juga mengharamkan perbuatan sedemikian. Ini
berdasarkan firman ALLAH S.W.T. di dalam al-Quran:
“Dan
mereka yang menjaga kehormatannya (dalam hubungan seksual) kecuali
kepada isteri atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah
tercela. Barang siapa yang mengingini selain yang demikian, maka mereka
adalah orang yang melampaui batas.” – Surah al-Mukminun: 5-7
“Hendaklah
kamu berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal.” – Hadith riwayat
al-Bukhari no. 5063, Muslim no. 3389, an-Nasa’i dan Ahmad.
Hadith
tersebut jelas menunjukkan bahawa puasa berperanan untuk mencegah nafsu
syahwat, bukannya merawat. Rawatan mujarab bagi penyakit ini hanyalah
melalui perkahwinan.
10. Dorongan untuk melakukan hubungan intim.
Seseorang
itu wajib berkahwin jika telah wujud di dalam jiwanya desakan untuk
melakukan hubungan intim. Lelaki yang memiliki desakan nafsu yang kuat
dibenarkan untuk berkahwin sehingga empat orang isteri pada satu masa.
Ketentuan ini diperkuat lagi dengan ayat al-Quran.
ALLAH berfirman:
“…Kahwinilah
wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian,
jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil maka (kahwinilah) seorang
sahaja…” – Surah an-Nisa’ : 3.
Itulah hikmah ALLAH
memberi keizinan untuk berpoligami kepada suami yang memiliki kekuatan
dan kemampuan yang ditetapkan oleh-Nya. Memiliki nafsu syahwat yang kuat
bukanlah satu kesalahan. Sebaliknya, ia adalah kebaikan jika disalurkan
pada jalan yang halal dan benar. Justeru, lelaki haruslah lebih bijak
dalam menangani kemampuan ini.